Makmal i-CRIM, ALAF-UKM telah menerima kunjungan istimewa daripada Gabenor Wilayah Jiangsu, China Mr. Xu Kunlin dalam satu lawatan rasmi ke Makmal I-CRIM. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif diplomasi akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan China, yang membuka ruang baharu kepada kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi serta inovasi.
Delegasi diiringi oleh Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin, Pengarah UKMShape, Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro-Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana) UKM serta Prof. Yong Qiang, Presiden Nanjing Forestry University (NJFU), China. Kehadiran mereka disambut mesra oleh Ketua Makmal i-CRIM, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Nor Roslam Wan Isahak yang mengetuai sesi lawatan serta perkongsian berkenaan kemudahan penyelidikan terkini dan kepakaran sedia ada di Makmal i-CRIM.
Dalam sesi lawatan ini, pihak Makmal i-CRIM berkesempatan memperkenalkan kemudahan dan peralatan penyelidikan berteknologi tinggi yang ditawarkan, terutamanya di Makmal Morfologi dan Makmal X-Ray Diffraction (XRD) yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan bahan lanjutan, nanoteknologi, bioperubatan serta sains gunaan.
Sesi ini turut membuka ruang kepada perbincangan berkaitan kerjasama dalam bentuk perkongsian penyelidikan, program mobiliti akademik, pertukaran pelajar dan penyelidik serta pembangunan bersama teknologi sains gunaan yang selari dengan matlamat kelestarian dan pembangunan global.














