Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF-UKM) menerusi Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia menerima kunjungan rasmi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, hari ini.
Kehadiran beliau disambut oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani dan Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF-UKM), Prof Madya Dr Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin.
Lawatan ini adalah satu pengiktirafan terhadap peranan UKM dalam menerajui penyelidikan saintifik berasaskan komuniti dan pembangunan lestari yang berimpak di peringkat kebangsaan dan serantau.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, Pusat Penyelidikan Langkawi telah menjadi platform strategik bagi penyelidikan antara disiplin yang menjurus kepada pemuliharaan warisan geologi, biodiversiti, serta budaya tempatan.
Timbalan Menteri KPT juga meluangkan masa untuk membuat lawatan ke galeri dan mini pameran komuniti.
Delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut serta pada lawatan ini termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir dan Encik Raymond Teoh Joo Han yang menjalankan tugas Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi.














