Pada 1 Ogos 2023, ECERDC telah menyerahkan Projek Konservasi Teratai Lestari di Tasik Chini kepada PPTC-UKM untuk diuruskan sebagai sebahagian daripada inisiatif edupelancongan dan konservasi. ECERDC diwakili oleh Cik Salida Azizi, Pengurus Besar Bahagian Perancangan Strategik Korporat manakala PPTC-UKM diwakili oleh Prof Madya Dr Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Pengarah, Pusat Pengurusan Makmal Alam Semula Jadi dan Fizikal (ALAF-UKM). Turut hadir adalah Dr Wan Mohd Shukri Wan Ahmad, Pengarah, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan dan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menandatangani penyerahan aset antara FRIM dan UKM.
Tasik Chini telah diiktiraf sebagai rizab biosfera pertama Malaysia pada tahun 2009 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan berjaya mengekalkan statusnya pada 13 Jun 2023 di Sesi ke-35 Majlis Penyelaras Antarabangsa bagi Program Manusia dan Biosfera (ICC MAB35) 2023 di Paris, Perancis.













