Alhamdulillah, semalam telah berlangsung dengan jayanya Majlis Tautan Kasih Ramadan Bersama Komuniti Bukit Fraser anjuran Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, ALAF-UKM bertempat di Masjid Sultan Mahmud, Bukit Fraser, Pahang. Majlis ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ALAF-UKM dan penduduk setempat dengan berbuka puasa bersama-sama dengan cara bergotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 60 orang penduduk setempat.
Majlis ini dimulakan dengan acara bergotong-royong menyediakan juadah seawal jam 3 petang, kemudian diteruskan dengan acara berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak serta solat Terawih berjemaah. Dalam pada itu, seramai 8 orang penerima daripada komuniti ini turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan sumbangan hari raya yang telah disempurnakan oleh Pengarah ALAF-UKM, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin. Turut hadir sama pada majlis ini Ketua Makmal Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Dr. Shamsul Khamis.














