Makmal Bioserasi, ALAF-UKM pada 10, 12 hingga 14 Februari 2025 telah menjalani proses Pemeriksaan Surveilans OECD Good Laboratory Practice (GLP) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan kepatuhan fasiliti kajian Makmal Bioserasi terhadap Organization for Economic Coorperation and Development (OECD) Principles of GLP dan keperluan-keperluan Program Komplians GLP NPRA dipatuhi sepenuhnya.
Pemeriksaan ini merupakan salah satu usaha berterusan Makmal Bioserasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengujian pra klinikal bagi memastikan setiap proses analisis serta pengujian yang dijalankan menepati piawai, menghasilkan data ujian yang jitu dan berintegriti. Penilaian ini dilaksanakan oleh pasukan pemeriksa yang diketuai oleh Cik Fauziah Mohamed Kasim selaku Ketua Inspektor, bersama barisan Inspektor lain iaitu Cik Nik Juzaimah Juhari, En. Lim Wen Jun dan En. Ahmad Izwan Abdul Rani.
Penilaian melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap proses operasi fasiliti, jaminan kualiti, dan audit kajian yang telah dijalankan oleh pihak makmal terhadap produk pelanggan. Sebagai salah satu makmal di bawah tadbir urus ALAF-UKM, penilaian ini mencerminkan komitmen tinggi Makmal Bioserasi dalam mengekalkan kecemerlangan dan integriti perkhidmatannya seterusnya memartabatkan bidang toksikologi negara. Dengan komitmen kepada standard yang ketat, Makmal Bioserasi optimis menjadi pusat rujukan dan penyedia perkhidmatan makmal kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyelidik, industri, pelajar, agensi kerajaan dan swasta.














