ALAF-UKM melalui Makmal i-CRIM mencatatkan keputusan yang sangat baik dalam penilaian Assessment Surveillance MS ISO/IEC 17025:2017 oleh Jabatan Standard Malaysia pada 8 Oktober 2026 (Khamis). Penilaian yang diketuai oleh Pn. Ng Pui Wan selaku Ketua Penilai dan En. Wong Kok Fah selaku Penilai berakhir dengan hanya satu (1) pemerhatian (Observation) dan sifar ketidakakuran (Non-Conformity, NC). Keputusan ini mencerminkan tahap pematuhan yang baik terhadap keperluan standard serta komitmen berterusan makmal dalam mengekalkan kualiti dan kompetensi teknikal.
Â
Pencapaian ini memperlihatkan kesungguhan Makmal i-CRIM dalam memastikan sistem pengurusan kualiti dilaksanakan secara berkesan, di samping mengekalkan ketepatan, konsistensi dan kebolehpercayaan hasil pengujian. Penilaian audit ini turut menjadi ruang untuk mengenal pasti peluang penambahbaikan bagi memastikan setiap proses kerja terus diperkukuh selaras dengan keperluan MS ISO/IEC 17025:2017.
Â
Sebagai salah sebuah makmal di bawah tadbir urus ALAF-UKM, Makmal i-CRIM memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pengujian dan analisis saintifik bagi menyokong keperluan penyelidikan, pembangunan dan inovasi. Komitmen terhadap pematuhan standard antarabangsa ini turut memperkukuh keyakinan pelanggan serta pihak berkepentingan terhadap keupayaan teknikal dan profesionalisme perkhidmatan yang ditawarkan.
Â
ALAF-UKM merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Makmal i-CRIM atas komitmen dan usaha berterusan dalam memastikan kecemerlangan perkhidmatan makmal sentiasa terpelihara. Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh reputasi ALAF-UKM sebagai pusat perkhidmatan makmal yang berkualiti, berintegriti dan berdaya saing.
October 12, 2026


















