ALAF-UKM pada 26 Jun 2026 telah menganjurkan Sesi Taklimat Penggunaan Sistem Pengurusan Instrumentasi Bersepadu UKM (SPINIC UKM) sebagai persediaan ke arah pelaksanaan sistem pengurusan instrumentasi yang lebih cekap, sistematik dan bersepadu di seluruh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Taklimat yang dipengerusikan oleh Puan Hir Yanti Md Tahir, Timbalan Pengarah Instrumentasi dan Makmal ALAF-UKM, bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai yang terlibat mengenai aliran kerja sistem, proses permohonan serta tatacara pendaftaran maklumat instrumen dan analisis makmal ke dalam SPINIC UKM.
SPINIC UKM dibangunkan hasil kerjasama strategik antara ALAF-UKM dan DigitalUKM sebagai sebuah platform berpusat yang menyelaras serta menyeragamkan pengurusan instrumentasi di UKM. Sistem ini diwujudkan bagi menangani cabaran pengurusan operasi instrumentasi yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan melalui pelbagai kaedah dan sistem, sekali gus meningkatkan kecekapan tadbir urus kemudahan makmal universiti.
Â
Inisiatif ini merupakan langkah penting bagi memastikan pelaksanaan sistem dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan seragam di setiap Pusat Tanggungjawab (PTj). Melalui SPINIC UKM, pelbagai proses pengurusan instrumentasi seperti tempahan penggunaan peralatan, semakan status instrumen, pengurusan penyelenggaraan, pemantauan kapasiti penggunaan serta penjanaan laporan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan efisien.
Â
Sesi taklimat ini telah disertai oleh wakil-wakil daripada pelbagai PTj di UKM, antaranya Solar Energy Research Institute (SERI), SELFUEL UKM, Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) UKM, Institut Perubahan Iklim (IPI), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Fakulti Perubatan serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB).
June 29, 2026


























