Usaha memupuk generasi yang menghargai alam bermula dengan mengenali khazanah di sekeliling mereka. Atas aspirasi ini, ALAF-UKM melalui Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) telah melaksanakan Program Saintis Muda Apresiasi Alam Tasik Chini Rizab Biosfera (SMART CEPA TCRB) yang telah melibatkan penyertaan seramai 88 orang murid daripada lapan buah sekolah rendah zon Chini.
Program ini merupakan inisiatif UKM melalui PPTC untuk mendekatkan ilmu sains dan pendidikan alam sekitar kepada generasi muda, di samping memupuk rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB). Penglibatan murid setempat memberi makna kepada usaha ini kerana merekalah generasi yang akan meneruskan penjagaan warisan alam di kawasan mereka.
Diterajui oleh Puan Nur Amelia binti Abas, Penyelaras Makmal Alami dan Penyelidikan, ALAF-UKM, SMART CEPA TCRB mengetengahkan peranan PPTC sebagai penghubung antara universiti, agensi dan sekolah dalam memperluas pendidikan serta kesedaran alam sekitar kepada masyarakat. Sekolah yang terlibat ialah SK Tasik Cini Pekan (JHEOA), SK (Felda) Chini 1 & 4, SK LKTP Chini 2, SK (Felda) Chini 3 & 5, SK Chini Timur 1, SK Chini Timur 2, SK Mambang dan SK Khincir.
Melalui inisiatif ini, PPTCmembawa peranan universiti lebih dekat kepada komuniti dengan menjadikan ilmu sebagai asas untuk mengenali, menghargai dan memelihara alam. Minat terhadap sains yang disemai hari ini diharap berkembang menjadi kepekaan dan tindakan generasi muda dalam menjaga kelestarian Tasik Chini.
November 5, 2026





















