PELANCARAN INISIATIF 1000 KASIH ALUMNI UKM

Pusat Perhubungan Alumni telah berjaya melaksanakan Majlis Pelancaran Inisiatif Seribu Kasih Alumni pada 2 September 2025 bertempat di Panggung Seni UKM.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Dihormati Deputy Inspektor General Tan Sri Ayob Khan Bin Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara. Inisiatif ini digerakkan dengan matlamat mengumpul dana sebanyak RM10 juta melalui Tabung Waqaf Khas/Endowmen Alumni UKM, yang mana dana yang terkumpul melalui inisiatif ini akan digunakan bagi menyokong pelbagai program kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan pelajar, alumni serta UKM secara menyeluruh.

Sehingga pelancaran ini, sejumlah RM53,000.00 telah berjaya dikumpulkan. Pusat Perhubungan Alumni UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang bagi merealisasikan aspirasi murni ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM; YBhg. Prof. Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM; YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Menjalankan Fungsi TNC HEP & Alumni; Timbalan-Timbalan Naib Canselor; barisan Pengurusan Tertinggi UKM; Yang Berusaha Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM; serta para alumni UKM dari pelbagai bidang yang hadir memberikan sokongan.

Semoga usaha murni ini terus mendapat sokongan padu seluruh warga alumni UKM bagi memastikan sasaran RM10 juta dapat direalisasikan, demi manfaat bersama universiti, pelajar dan alumni.