JEJAK ALUMNI UKM @ SABAH ELECTRICITY

Pusat Perhubungan Alumni UKM melalui program Jejak Alumni (Edisi Sabah) telah berpeluang menjejaki YBrs. Ir. TS. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, alumni Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM, kelas tahun 1998, yang kini cemerlang berkhidmat dan memikul tanggungjawab besar sebagai Ketua Pegawai Operasi di Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Delegasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini diketuai oleh YBhg. Prof Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UKM. Turut mengiringi delegasi ialah YBrs. Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM; YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Sofwan Mahmud, Timbalan Pengarah (Pemasaran dan Penjanaan); serta Ir. Dr. Norinah Abd Rahman, Timbalan Pengarah (Aktiviti dan Jaringan).

Program Jejak Alumni ini bermatlamat memperkukuh silaturahim dan jaringan strategik UKM bersama alumni di lapangan industri. Pertemuan ini membincangkan pengalaman kerjaya beliau serta potensi kerjasama yang bermanfaat untuk pembangunan pelajar.

Selain itu, ia turut menjadi platform untuk berkongsi maklumat program seperti Inisiatif 1000 Kasih Alumni dan hebahan Alumni Balik Kampus 2026, di samping memaklumkan perkembangan terkini universiti bagi memperkasa penglibatan alumni.