MAJLIS HI TEA ALUMNI 2026

MAJLIS HI TEA ALUMNI 2026

Sebagai acara penutup bagi Program Alumni Balik Kampus 2026, Majlis Hi-Tea Alumni 2026 telah berlangsung dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni, sekali gus berjaya menghimpunkan pelbagai generasi graduan kembali ke pangkuan alma mater tercinta. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Hj. Mohd Dom, Alumni FSKK 1976, yang turut berbesar hati merasmikan Program Alumni Balik Kampus 2026 serta Sambutan Hari Alumni UKM.
Semangat keprihatinan dan kekitaan warga alumni terus subur apabila majlis ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan besar berjumlah RM198,886.13 hasil kesepakatan para alumni dan rakan strategik. Lebih membanggakan, sebanyak RM148,000 daripada dana tersebut disalurkan khusus untuk menaja bilik penginapan pelajar serta menyediakan kemudahan penapis air di kolej-kolej kediaman dan PTJ terpilih, sekaligus membuktikan komitmen jitu alumni UKM dalam menyumbang bakti demi meringankan beban kewangan serta menjaga kebajikan mahasiswa di kampus.
Majlis bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti iaitu Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman; Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud; serta Pengarah Pusat Alumni UKM, Dr. Roslan Ja’afar. Kami di Pusat Perhubungan Alumni UKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan tetamu yang hadir, semoga ikatan ukhuwah ini terus utuh demi kecemerlangan universiti dan kelangsungan generasi pelajar masa hadapan.