SESI SLOT ALUMNI TERSOHOR BERSEMPENA MINGGU TEKAD SISWA SESI 2026/2027
Sesi Slot Alumni Tersohor bersempena Minggu Tekad Siswa Sesi 2026/2027 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru sahaja selesai dilangsungkan dengan jayanya. Program yang mengambil tempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) ini telah membawakan perkongsian berharga daripada barisan alumni hebat yang berpengalaman luas dalam industri masing-masing.
Para pelajar baharu berpeluang mencedok ilmu dan inspirasi kerjaya daripada tiga figura cemerlang iaitu Cik Norshakirah Ahmad Rashidi (Alumni FST, 2019, 2021) dari PPG Coating (M) Sdn. Bhd., Cik Preti Kaur Gill (Alumni FSSK, 2024) yang merupakan Pengacara Didik TV dan Startrack di Star Media Group, dan Ts. Dr. Ismamuradi Abdul Kadir (Alumni GSB, 2017) dari Bank Muamalat Malaysia Berhad. Segala nasihat dan pengalaman yang dikongsikan pastinya membuka mata para penuntut untuk merancang perjalanan akademik serta hala tuju kerjaya mereka.
Pusat Perhubungan Alumni UKM merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan panel dan semua pelajar yang menyokong, termasuklah mahasiswa yang mengikuti siaran langsung dari Kolej Tun Dr. Ismail dan Kolej Tun Syed Nasir. Terus sematkan nilai Iman, Ilmu, Amal dalam memacu kecemerlangan di menara gading!
