PROGRAM BICARA ALUMNI DAN MAJLIS PELUNCURAN ALUMNI BACK TO CAMPUS 2026
Pusat Perhubungan Alumni UKM telah menganjurkan program Bicara Alumni sempena Majlis Peluncuran Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 pada 10 Oktober 2026 (Sabtu) secara dalam talian.
Sesi Bicara Alumni yang bertajuk “Seni Memimpin Diri dan Organisasi Melalui Tulisan” telah menampilkan Tuan Haji Syamsul Amri Abd Razak (FEP 2010), Jurulatih Utama & Pemandu Citra Bertauliah / Penulis di SABAR Training and Resources sebagai panel jemputan. Beliau telah berkongsi pencerahan mendalam mengenai kepentingan dan seni penulisan dalam membentuk kepimpinan diri serta menguruskan organisasi dengan berkesan.
Sejurus selepas sesi perkongsian tersebut, program diteruskan dengan siaran langsung Majlis Peluncuran Alumni Back to Campus 2026 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dari Universiti Malaya.
Lebih membanggakan, penyertaan luar biasa komuniti alumni kita pada hari ini telah menyumbang secara langsung kepada penciptaan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui kempen World Alumni Virtual Engagement (WAVE) yang melibatkan 20 Universiti Awam di seluruh negara!
Majlis bersejarah dan perkongsian ilmu ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM dan YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM yang meluangkan masa mengikuti sesi ini secara dalam talian dari UKM.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada panel, pengurusan tertinggi universiti, serta setiap alumni UKM yang telah hadir secara fizikal di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya mahupun yang menyertai secara dalam talian. Sokongan anda membuktikan kebersamaan komuniti alumni UKM yang sangat jitu dalam menyokong inisiatif kebangsaan.
Semoga segala ilmu yang disampaikan dapat diaplikasikan demi melahirkan pemimpin hebat, dan jaringan alumni kita terus utuh demi masa depan pendidikan tinggi negara.