Alumni Hebat UKM Tokoh Guru
Md. Kasim Md. Noah (FST 79) ialah Alumni Hebat Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau ialah bekas guru dan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Asrama Penuh dan Sekolah Cemerlang di Pejabat Pendidikan Negeri, Putrajaya. Baru-baru ini beliau telah terpilih sebagai Tokoh Guru Daerah Segamat. Beliau seorang yang sangat berdisiplin dan tidak kedekut ilmu. Beliau berkata, tugas sebagai pendidik memerlukan pengorbanan dan disiplin tinggi kerana mereka merupakan individu yang membentuk dan melahirkan insan sempurna.
Menurut bapa kepada lima orang anak yang kesemuanya berjaya ke menara gading ini, hari yang paling indah baginya sepanjang bergelar pendidik adalah hadir ke sekolah yang disifatkannya bukan sahaja untuk mengajar, sebaliknya turut belajar tentang kehidupan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam, Segamat pada tahun 1969 kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Batu Anam dan selepas itu di SMK Datuk Bentara Dalam sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
