KURSUS ALUMNI UKM SARAWAK
Pusat Khidmat ADUN N.27 Sebuyau dan Alumni UKM Sarawak telah menganjurkan Kursus Robotik selama 15 hari yang berakhir pada 20 Julai 2019. Kursus ini adalah dengan kerjasama Majlis Guru Besar dan Pengetua Zon Sebuyau dan Sebangan. Seramai 72 orang pelajar sekolah dan 28 orang guru dari 19 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah (SMK Sebuyau) telah menyertai kursus yang dibahagikan kepada tiga sesi ini. Menurut En. Adenan Bukra, wakil Alumni UKM Sarawak, kursus jangka pendek pengaturcaraan robot seumpama ini adalah yang pertama kali dilaksanakan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah di Sarawak. Kebanyakan program robotik lain yang pernah diadakan adalah berbentuk pertandingan. Majoriti peserta yang dipilih oleh pihak sekolah masing-masing adalah dari kalangan pelajar-pelajar kaum Melayu dan Iban.
Selama 5 hari, peserta dan guru-guru telah dilatih tentang konsep pemikiran komputasional, membina permainan komputer menggunakan pengaturcaraan Scratch, pembangunan sistem lampu isyarat dan penggera keselamatan menggunakan mikropengawal Arduino, pemasangan robot mBot serta pengaturcaraan mBlock untuk mengarahkan robot melakukan tugasan. Kursus ini diakhiri dengan pertandingan robotik yang menggunakan penderia penjejak garisan serta ultrabunyi untuk menghabiskan pusingan di dalam arena. Presiden Alumni UKM Sarawak, YB Datuk Julaihi Haji Narawi amat teruja dengan pencapaian pelajar-pelajar luar bandar ini dan beliau berhasrat untuk mengembangkan lagi program STEM sebegini dengan penganjuran pertandingan robotik peringkat negeri. Ujar beliau lagi, pendedahan awal kepada robotik dapat melahirkan ramai jurutera-jurutera yang mahir di masa hadapan. Tahniah Alumni UKM Sarawak!
