Alumni Hebat UKM

Dr Nordin Ahmad (FPI 86), Pengarah Darul Quran Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Kuala Kubu Bharu,
Selangor ialah Alumni Hebat Universiti Kebangsaan Malaysia. Banyak pengalaman pahit manis dan liku-liku kehidupan yang telah beliau lalui selama 56 tahun beliau hidup. Sebelum memegang jawatan sebagai Pengarah Darul Quran (JAKIM), beliau berkhidmat di Bahagian Dakwah Orang Asli (JAKIM). Pelbagai cabaran yang beliau lalui dalam menjalankan kerja dakwah kepada masyarakat Orang Asli.

Sepanjang berkhidmat di bahagian dakwah, beliau berkesempatan melawat hampir ke seluruh Malaysia bertemu dengan masyarakat Orang Asli, ada kalanya mengambil masa seminggu menginap di perkampungan mereka. Ada tempat yang boleh
dimasuki dengan kenderaan, ada juga tempat hanya boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sehingga berjam­-jam. Lazimnya, beliau akan tidur di pondok yang disediakan Tok Batin semasa menjalankan kerja dakwah.

Selain itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan cawangan Akidah dan Ajaran
Sesat Mistik di JAKIM. Antara pengalaman yang beliau oernah alami ialah menyamar sebagai ahli kumpulan ajaran sesat di Pantai Timur untuk meninjau kegiatan kumpulan berkenaan.

Beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Darul Quran JAKIM, Nordin menjadi ‘bapa’ kepada 1,000 pelajar tahfiz Darul Quran, satu bidang yang jauh berbeza berbanding tugasnya sebelum ini. Menganggap kesemua pelajar Darul Quran sebagai anaknya, beliau memastikan setiap kali lepas solat Maghrib berjemaah diikuti sesi berbual
dan berkongsi pandangan dengan pelajar dalam suasana santai.