Alumni Hebat UKM Cipta Sejarah Ke Harvard
Dr. Mohd Lutfi Fadil Lokman (Fakulti Perubatan 2013), pengasas Hospital Beyond Boundaries mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama ditawarkan belajar di Universiti Harvard dalam Doktorat Kesihatan Awam (DrPH). Pada September tahun lalu, beliau juga pernah mengharumkan nama negara apabila disenarai sebagai pencetus perubahan dalam agenda Pembangunan Kelestarian 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada April 2017.
Beliau menyatakan bahawa beliau hanya mahu mencuba nasib ketika mengisi permohonan ke universiti nombor satu dunia itu pada Mei tahun lalu, namun tidak sangka berjaya dipilih. Beliau perlu bersaing dengan lebih 350 calon lain dari seluruh dunia dan universiti berkenaan hanya mengambil 20 pelajar pada setiap tahun selepas bidang pengajian itu kali pertama diperkenalkan pada 2013. Beliau perlu menjalani tiga ujian berbeza iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan bertulis, selain perlu ditemuduga sebanyak dua kali oleh pihak Universiti Harvard yang dijalankan menerusi teknologi panggilan video, Skype.
Antara sebab beliau memilih Harvard adalah kerana kursus pengajian ini diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan mereka juga sudi memberi cuti bergaji sepanjang tiga tahun beliau berkhidmat dan selepas tamat nanti akan sambung berkhidmat dengan kementerian semula.