JEJAK ALUMNI UKM @ CYBERSECURITY MALAYSIA
18 Ogos 2026
Pusat Perhubungan Alumni UKM melalui program Jejak Alumni telah berpeluang menjejaki dua orang tokoh alumni hebat yang kini cemerlang berkhidmat dan memikul tanggungjawab besar di Cybersecurity Malaysia. Mereka ialah Encik Azman Ismail, alumni FPP tahun 1989 yang bertugas sebagai Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Pengurusan, dan Tuan Hamidun Katemin, alumni FSKK tahun 1995 serta GSB tahun 2015, selaku Pengurus Besar Bahagian Perancangan Korporat & Strategi.
Delegasi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Sofwan bin Mahmud, Timbalan Pengarah (Penjanaan dan Pemasaran) Pusat Perhubungan Alumni UKM. Turut serta dalam siri kunjungan ini ialah Ir. Dr. Norinah Abd Rahman, Timbalan Pengarah (Aktiviti dan Jaringan) Pusat Perhubungan Alumni UKM.
Program Jejak Alumni ini bertujuan memperkukuh jaringan strategik dan silaturahim UKM dengan alumni di sektor teknologi dan keselamatan siber melalui perbincangan pengalaman kerjaya dan potensi kerjasama untuk pembangunan pelajar, termasuk penawaran latihan industri di Cybersecurity Malaysia.
Selain itu, kunjungan ini turut menjadi platform perkongsian maklumat bagi inisiatif 1000 Kasih Alumni, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini universiti bagi memperkasa penglibatan alumni secara menyeluruh.
