JEJAK ALUMNI UKM @ KUMPULAN YAYASAN SABAH
Pusat Perhubungan Alumni UKM melalui program Jejak Alumni (Edisi Sabah) telah berpeluang menjejaki YBrs. Tuan Zulkhairi Ismail, alumni Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM, kelas tahun 1991, yang kini cemerlang berkhidmat dan memikul tanggungjawab besar sebagai Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon di Kumpulan Yayasan Sabah.
Delegasi ini diketuai oleh YBrs. Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM. Turut serta dalam siri kunjungan ini ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Sofwan Mahmud, Timbalan Pengarah (Pemasaran dan Penjanaan); Ir. Dr. Norinah Abd Rahman, Timbalan Pengarah (Aktiviti dan Jaringan); serta barisan alumni yang hadir iaitu Puan Suszi binti Bahat, Ts. Effendy Hadis, Encik Jadda Suhaimi, Encik Mohd Safian Saludin, dan Encik Jaiming @ Ahmad Liun.
Program Jejak Alumni ini bermatlamat memperkukuh silaturahim dan jaringan strategik UKM bersama alumni di lapangan industri. Pertemuan ini membincangkan pengalaman kerjaya beliau serta potensi kerjasama yang bermanfaat untuk pembangunan pelajar.
Selain itu, ia turut menjadi platform untuk berkongsi maklumat program seperti Inisiatif 1000 Kasih Alumni dan hebahan Alumni Balik Kampus 2026, di samping memaklumkan perkembangan terkini universiti bagi memperkasa penglibatan alumni.
