JELAJAH KASIH ALUMNI UKM 2026
Pusat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama konvoi KUKM Bikers telah melabuhkan tirai Program Jelajah Kasih Alumni UKM 2026 yang berlangsung dengan jayanya dari 6 hingga 8 Oktober 2026. Penjelajahan yang digerakkan serentak menerusi dua laluan utama, iaitu Laluan Utara dan Laluan Selatan ini dianjurkan bertujuan untuk menyantuni tokoh-tokoh alumni di pelbagai sektor, di samping menyemarakkan lagi kempen Alumni Balik Kampus UKM 2026 Edisi Khas.
Sepanjang tiga hari penjelajahan, konvoi Laluan Utara telah menelusuri Pulau Pinang dan Perak dengan menyantuni alumni di USM, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Fadason Sdn. Bhd., Majlis Bandaraya Ipoh, dan UPSI. Sementara itu, konvoi Laluan Selatan pula merentasi Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan dengan kunjungan ke Eyecon Group Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Dewan Teraju Usahawan Johor, Sky Ladder Pineapple Farm, serta firma guaman Hanif Hassan & Co.
Semangat kebersamaan dan silaturahim yang terjalin sepanjang jelajah ini amat bermakna bagi pihak universiti. Pusat Perhubungan Alumni UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua alumni, agensi, serta organisasi yang terlibat atas sambutan yang sangat mesra dan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

