MAJLIS FLAG OFF KARAKORAM RIDE 2026
26 OGOS 2026
Pusat Perhubungan Alumni UKM berbesar hati menganjurkan Majlis Flag Off Karakoram Ride 2026 yang telah berlangsung dengan jayanya pada petang 26 Ogos 2026, bertempat di pekarangan Kompleks Alumni UKM.
Majlis ini menjadi simbolik kepada keazaman dan semangat keberanian 10 orang peserta yang terdiri daripada barisan alumni ROTU UKM, ahli akademik, dan golongan profesional dalam menyahut cabaran ekspedisi bermotosikal menuju ke Banjaran Karakoram, Pakistan bermula 27 Ogos hingga 6 September 2026.
Lebih membanggakan, ekspedisi ini bakal mengibarkan Jalur Gemilang di pergunungan Karakoram pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia! Bukan sekadar pengembaraan fizikal, pasukan ini turut membawa misi Riders for Education and Community Outreach bagi menyokong pendidikan murid di kawasan pedalaman Shimshal Valley, sekali gus menterjemahkan semangat UKM, “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.
Kemuncak majlis diserikan dengan ucapan perasmian dan gimik pelepasan (flag-off) yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM. Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBhg. Prof. Sr Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro-Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana) merangkap Ketua UKMBikers; YBrs. Tn. Haji Rasid Jaapar, Ketua Program Karakoram Ride 2026; serta YBrs. Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak, para penaja, rakan strategik, serta tetamu yang hadir atas keprihatinan dan sokongan padu yang diberikan. Dengan berlepasnya barisan rider perwira kita, sama-samalah kita mendoakan agar perjalanan seluruh pasukan dikurniakan kelancaran dan keselamatan sepanjang pergi dan pulang.
