MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN SEWA KEDIAMAN KEPADA MAHASISWA UNIVERSITI AWAM DI WILAYAH PERSEKUTUAN

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan Sewa Kediaman Kepada Mahasiswa Universiti Awam di Wilayah Persekutuan. Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM dan YBhg. Datuk Mohd Nizam Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Dalam majlis ini juga turut berlangsung penyerahan sumbangan Projek Penapis Air Kolej Kediaman Pelajar UKM kepada Pusat Perhubungan Alumni. Pusat Perhubungan Alumni telah melancarkan inisiatif untuk mengumpul sumbangan bagi Projek Penapis Air Kolej Kediaman Pelajar UKM ini pada Jun 2023 yang lalu. Sumbangan ini diberikan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bernilai RM 50,000.00.
Inisiatif projek ini adalah penting kerana bekalan air bersih amat perlu bagi pelajar-pelajar di universiti untuk kekal aktif, sihat dan bertenaga dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di kampus.