PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN SIBER
PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN SIBER
Group Technology, CIMB Malaysia dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UKM dan Pusat Aktiviti Warga Emas UKM (PAWE@UKM) telah berjaya mengadakan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR): Kempen Kesedaran Keselamatan Siber. Program yang berlangsung pada 16 Mei 2026 di Bilik Seminar, Kompleks Alumni UKM ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 40 orang peserta dalam kalangan warga emas.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan warga emas, mengenai ancaman siber semasa yang semakin mencabar. Melalui perkongsian ini, peserta didedahkan dengan pelbagai modus operandi penipuan dalam talian, scam panggilan telefon, aspek keselamatan penggunaan telefon pintar, perbankan digital, serta langkah-langkah penting untuk melindungi data peribadi agar mereka lebih peka dan berwaspada.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat yang sudi meluangkan masa bersama-sama para peserta, iaitu Dato’ Sri Shamshun Baharin bin Mohd Jamil, Ketua Pengarah, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) selaku penceramah jemputan; Dato’ Mohd Wahid Samsudin, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE@UKM); Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UKM; Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah ALUMNI-UKM; serta Puan Nor Sherriza Nor Rashidi, Head, Group Technology, Workforce & Third Party Management, CIMB Malaysia.

