PROJEK ONDE-ONDE MEGA 2026 (BOX OF HAPPINESS 3.0)

Persatuan Alumni Kejururawatan UKM (AlumRa) telah berjaya menyempurnakan program amal tahunan edisi ketiga, Box of Happiness 3.0 (BOH 3.0) pada 7 Mac 2026 bertempat di Blok Pendidikan, Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan UKM dan mencatatkan sejarah tersendiri apabila kehadiran sukarelawan memecah rekod pendaftaran.

Program berkonsepkan gotong-royong yang diterajui oleh Puan Shirin Khashim selaku Pengarah Projek dan En. Muhammad Muazzam Jamaluddin (Pengerusi AlumRa) ini telah berjaya menghasilkan hampir 3,000 biji onde-onde untuk diagihkan kepada pelbagai lapisan staf bermula daripada doktor, jururawat, pembantu perubatan, sehinggalah kepada staf sokongan seperti pengawal keselamatan, pemandu ambulans dan unit-unit lain di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bermula jam 5.00 petang.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dato’ Dr. Azmi Baharudin (Pengarah HCTM) atas sokongan rasmi, serta rakan sinergi program iaitu Pusat Perhubungan Alumni UKM, Jabatan Kejururawatan UKM, Semarak Dahlia Empire (SDE), dan kesemua sukarelawan yang memerah keringat menjayakan misi ini.