SEKALUNG TAHNIAH BUAT ALUMNI UKM & ALUMNI ROTU UKM: JALUR GEMILANG BERKIBAR MEGAH DI BANJARAN KARAKORAM
Pusat Perhubungan Alumni UKM mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada rombongan alumni UKM, Alumni ROTU UKM, serta ahli akademik yang berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di Banjaran Karakoram, Gilgit-Baltistan, Pakistan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 pada 31 Ogos 2026.
Semangat patriotisme terbukti tidak terbatas oleh sempadan geografi apabila 10 peserta misi Karakoram Ride 2026: Riders for Education and Community Outreach ini merayakan detik bersejarah negara di antara rangkaian pergunungan tertinggi di dunia. Rombongan ini diketuai oleh Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan dan turut dijayakan oleh Abd Rasid Jaapar, Abdul Jabar Abd Karim, Ahmad Rusli Md Akir, Johal Mohammad, Kamarudin Salleh, Mohd Jasmy Abd Rahman, Mohd Mazeri Mohamed Hassim, Mohd Nor Shokri Abd Rahman, serta Ooi Choon Poh.
Ekspedisi bermotosikal ini bukan sekadar sebuah kembara, malah membawa misi murni pendidikan dan kemasyarakatan. Para peserta, termasuk wakil Alumni ROTU UKM, turut melawat sekolah-sekolah pedalaman di Gilgit-Baltistan untuk berinteraksi dengan komuniti setempat, berkongsi ilmu, serta menyampaikan sumbangan pendidikan.
Semoga semangat jati diri dan patriotisme ini terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga serta alumni UKM.
