Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan
Sesi Praktikal Citra UKM 2026 bertajuk “Pengekstrakan DNA dan Polymerase Chain Reaction–Restriction Fragment Length Polymorphism (PCR-RFLP)” telah berjaya dijalankan pada 3 Jun 2026 di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini direka untuk memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar Citra UKM mengenai teknik biologi molekul serta aplikasinya dalam penyelidikan bioperubatan dan analisis genetik.
Sesi dimulakan dengan ketibaan pelajar dari UKM Bangi yang telah dibahagikan kepada enam kumpulan. Pada sesi praktikal pertama, Kumpulan 1, 2 dan 3 mengikuti modul Pengekstrakan DNA di Aras 8, manakala Kumpulan 4, 5 dan 6 menyertai praktikal PCR-RFLP di Aras 11. Praktikal PCR-RFLP ini merangkumi tiga stesen yang meliputi teknik PCR dan RFLP, elektroforesis gel agaros, serta visualisasi DNA menggunakan sistem Dokumentasi Gel (Gel Doc). Selepas sesi pertukaran stesen yang telah dijadualkan, semua kumpulan diberi peluang untuk mengalami kedua-dua modul praktikal tersebut.
Melalui aktiviti makmal secara hands-on, peserta mempelajari prinsip pengasingan DNA, amplifikasi, pencernaan enzim sekatan, serta analisis fragmen DNA. Teknik-teknik ini digunakan secara meluas dalam bidang genetik, diagnostik molekul dan penyelidikan bioperubatan. Program ini diakhiri dengan sesi perbincangan di MPG 12 yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Suzana Makpol, di mana pelajar membuat refleksi terhadap pengalaman pembelajaran mereka serta memperoleh pemahaman lanjut mengenai penyelidikan biologi molekul.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan pemahaman pelajar terhadap teknik molekul, memperkukuh kemahiran makmal mereka, serta menyediakan pengalaman pembelajaran bermakna di luar sesi kelas.