Skip to main content

Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan

JABATAN BIOKIMIA

FAKULTI PERUBATAN, UKM

Program Titian Kasih Aidilfitri

Program Khidmat Masyarakat Titian Kasih Aidilfitri telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, UKM dengan kerjasama Kelab Wanita UKM pada 18 Mac 2026 di Bilik Seminar, Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, UKM. Program ini bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan kepada kakitangan dan pelajar kurang berkemampuan (asnaf) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, di samping memupuk nilai kasih sayang, perpaduan dan semangat keprihatinan dalam kalangan warga universiti.

Majlis dimulakan dengan ketibaan para penerima dan tetamu, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Biokimia, wakil Kelab Wanita UKM dan Dekan Fakulti Perubatan. Kemuncak program ialah penyampaian sumbangan tunai kepada penerima yang layak. Seramai 25 orang kakitangan asnaf dan empat orang pelajar kurang berkemampuan telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM150 setiap seorang. Bagi penerima yang tidak dapat hadir, sumbangan tersebut telah dipindahkan terus ke akaun bank masing-masing. Program ini dibiayai melalui sumbangan berjumlah RM7,350 yang disalurkan oleh Kelab Wanita UKM dan para penderma individu.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektifnya dengan membantu meringankan beban kewangan para penerima menjelang Aidilfitri, mengeratkan hubungan dalam kalangan warga universiti serta memupuk semangat tanggungjawab sosial dan kebajikan komuniti. Program ini mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong golongan yang memerlukan serta memupuk persekitaran kampus yang prihatin dan inklusif.