Sejarah Penubuhan
PUSAT PENYELIDIKAN
BUKIT FRASER
Pada 21 Jun 1991, satu upacara perletakan Batu Asas Balai Cerap Bintang dan Pusat Kajian Habitat Pergunungan UKM di Bukit Fraser telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Sri Hj.Mohd Khalil bin Yaakob, Menteri Besar Pahang pada masa itu. Idea penubuhan Balai Cerap Bintang ini timbul daripada kesedaran bahawa Malaysia masih ketinggalan dalam pendedahan dan tumpuan dalam bidang Astronomi dan Falak. Manakala Pusat Kajian Habitat merupakan yang terulung ditubuhkan di Semenanjung Malaysia bagi memudahkan para pengkaji dan pelajar menjalankan ekologi tanah tinggi.
Pusat Penyelidikan Bukit Fraser pada tahun 1997
Usaha-usaha untuk menubuhkan Balai Cerap Bintang dan Pusat Kajian Habitat Pergunungan merupakan perancangan bersama di antara Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser. Walaubagaimanapun pembinaan Balai Cerap Bintang tidak dapat dibina sebaliknya ia digantikan dengan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser.
Pada peringkat awal penubuhan tahun 1990-an beberapa kerja-kerja pembinaan telah dijalankan antaranya pembinaan tapak penyelidikan, pembinaan jalan (bertar) naik ke tapak Pusat Penyelidikan dan gabion batu sepanjang 20m untuk mengawal hakisan tanah dibahagian atas. Sebuah bangunan satu tingkat juga telah dibina sebagai pejabat atau makmal dan dua ruang bilik air namun malangnya bekalan elektrik dan air belum dibekalkan. Pada tahun 1997 pembangunannya telah tergendala akibat dari kegawatan ekonomi Negara.
Pada peringkat awal penubuhan sehingga tahun 2007, pengurusan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser diketuai oleh Prof. Dr. Noraini Mohd. Tamin dan selepas itu PPBF telah diambil alih oleh Ketua Penyelaras yang baru bagi tempoh 2007 sehingga 2013, Prof. Dr. Jumaat Haji Adam.
Sejak dari itu, Pusat Penyelidikan Bukit Fraser telah dibangunkan dan dinaiktaraf dengan kemudahan asas bagi penyelidikan dan kerjalapangan pelajar. Kemudahan air juga diperoleh daripada sungai yang berdekatan dengan pembinaan empangan kecil dan air berkenaan dipam ke tangki pengumpulan sebelum digunakan. Banyak kemudahan telah dibangunkan seperti kemudahan dapur, stor, tandas tambahan, astaka, tapak perkhemahan, wakaf, pembinaan denai dan sebagainya bagi keperluan dalam penyelidikan yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Bukit Fraser.
Pada 1 Januari 2014, Dr Tukimat Lihan telah dilantik untuk menjadi Ketua Pusat Penyelidikan Bukit Fraser yang baru. Seterusnya lantikan Ketua Pusat Penyelidikan Bukit Fraser pada 1 Januari 2017 disandang Dr Norela Sulaiman. Kini pengurusan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser digalas oleh Dr. Shamsul Khamis.