PROGRAM MERAIKAN ALUMNI UKM BALIK KE KAMPUS
Alhamdulillah, telah berlangsung dengan meriah program Hari Alumni Homecoming anjuran Pusat Perhubungan Alumni UKM pada 21 Jun 2025 di Kolej Burhanuddin Helmi, yang menghimpunkan ramai alumni ternama KBH. Program ini berjaya mencipta pengalaman bermakna buat seluruh warga D’Gators. Kehadiran alumni dari pelbagai latar belakang termasuk generasi awal KBH memberikan suntikan semangat dan rasa bangga terhadap perjalanan serta perkembangan kolej hingga ke hari ini.
Antara pengisian program termasuk sesi sembang santai bersama alumni, pameran kenangan, lawatan sekitar kolej, dan pameran pencapaian pelajar serta aktiviti KBH sepanjang tahun. Para pelajar juga berpeluang mendengar sendiri perkongsian pengalaman, mendapatkan nasihat bermanfaat, dan memahami lebih dekat nilai-nilai yang membentuk identiti Jiwa Burhan.













Program ini dimulakan pada pagi hari dengan aktiviti riadah atau bersukan yang dilaksanakan dalam pertandingan sukan antara kolej dengan memanggil alumni-alumni dari setiap kolej untuk menjadi wakil kolej dalam pertandingan sukan yang diadakan. Antara pertandingan yang diadakan termasuklah bola sepak, bola tampar, dan juga bola jaring. Aktiviti sukan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dan kerjasama antara pelajar dan alumni, malah turut membantu meningkatkan tahap kecergasan, kesihatan mental serta memperkukuh jalinan ukhuwah dalam suasana santai dan positif.
Program ini membuktikan bahawa hubungan antara alumni dan warga kolej terus relevan dan penting dalam membina masa depan bersama. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyumbang tenaga dan komitmen. Diharapkan jalinan ini terus dikekalkan dan memberi inspirasi kepada generasi D’Gators akan datang. Semoga inisiatif murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi mengukuhkan jaringan alumni Kolej Burhanuddin Helmi.








