FESTIVAL KEUSHAWANAN D’GATORS (FESKUD) 2025

FESKUD 2025 Tonjol Kelestarian, Inovasi dan Kerjasama Alumni melalui Pendekatan SDG

Festival Keusahawanan D’Gators (FESKUD) 2025 anjuran Eksekutif Keusahawanan Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Burhanuddin Helmi, UKM, tampil lebih dinamik dengan pelbagai inisiatif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dengan tema “From Idea to Impact”, festival ini berjaya mengangkat semangat keusahawanan secara lestari dan inklusif.

Antara sorotan utama FESKUD termasuk Hackathon 24 jam (SDG 2, 3 & 12) yang mencabar kreativiti pelajar menghasilkan idea perniagaan baharu dalam tempoh masa terhad. Pameran Kreatif Berkonsep Kelestarian (SDG 12) pula memfokuskan kepada inovasi berasaskan bahan kitar semula, seiring usaha meningkatkan kesedaran kelestarian alam sekitar.

Turut menarik perhatian ialah Program Mentor-Mentee (SDG 3 & 4) yang melibatkan alumni UKM sebagai pembimbing dalam pembangunan kerjaya dan keusahawanan pelajar. Pitching Arena pula memberi peluang kepada peserta mempersembahkan idea perniagaan kepada panel pelabur sebenar, membuka ruang jaringan dan pelaburan.

Sebagai langkah ke arah digitalisasi, FESKUD turut memperkenalkan sistem token digital untuk transaksi tanpa tunai sepanjang festival – satu inisiatif yang memperkukuh pemahaman peserta terhadap transformasi digital dan ekonomi masa depan.

Dengan pendekatan yang menyeluruh dan berimpak tinggi, FESKUD bukan sahaja membentuk pelajar yang inovatif dan berdaya saing, malah menyumbang ke arah pembangunan komuniti kampus yang lestari dan berdaya tahan.