Majlis Iftar Keluarga Burhan [24’/25′]

Pada 19 Mac 2025, Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Burhanuddin Helmi telah menganjurkan Majlis Iftar Keluarga Burhan 24/25 bertempat di Kediaman Rasmi Pengetua KBH. Bertemakan pakaian Baju Raya, majlis ini berlangsung penuh mesra dan harmoni, menghimpunkan pelajar, felo, alumni, serta barisan pentadbiran dalam suasana kekeluargaan yang erat.

Majlis ini turut menjadi platform untuk menyemarakkan semangat bersedekah dan berkongsi rezeki di bulan Ramadan. Sebanyak 150 pek nasi lemak disumbangkan oleh Ikhlas.com, manakala pek minuman dan kurma pula disumbangkan oleh Yayasan Food Bank Malaysia, bersama sumbangan individu dan alumni yang prihatin. KBH merakamkan penghargaan atas keikhlasan dan sokongan semua pihak dalam menjayakan program ini.

Lebih bermakna, kehadiran YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni UKM) turut memeriahkan majlis dan menyantuni komuniti KBH dengan penuh mesra.

Pelbagai juadah istimewa seperti Nasi Goreng Kambing, Satay, Lemang, Soto Ayam, Ayam Bakar, serta pencuci mulut dan air balang telah disajikan kepada para tetamu. Majlis ini bukan sahaja mempererat silaturahim, malah mencerminkan nilai “Daya, Dedikasi, Dinamik” yang menjadi nadi kepada komuniti D’Gators.

Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memupuk nilai murni dan kebersamaan dalam kalangan warga kolej.

“𝐃𝐚𝐲𝐚, 𝐃𝐞𝐝𝐢𝐤𝐚𝐬𝐢, 𝐃𝐢𝐧𝐚𝐦𝐢𝐤” 🐊 | 𝐊𝐎𝐋𝐄𝐉 𝐁𝐔𝐑𝐇𝐀𝐍𝐔𝐃𝐃𝐈𝐍 𝐇𝐄𝐋𝐌𝐈
𝐒𝐄𝐒𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟒/𝟐𝟎𝟐𝟓