Kursi Tun Dr. Ismail

Kursi Tun Dr. Ismail di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan susulan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis memperingati tokoh negarawan Tun Dr. Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun 2023.

Penubuhan ini merupakan penghargaan terhadap warisan kepimpinan dan pemikiran Tun Dr. Ismail yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum, sekaligus menjadikan KITA sebagai institut penyelidikan yang memegang dua kursi akademik serentak, iaitu Kursi Tun Dr. Ismail dan Kursi UNESCO (Social Practices in Intercultural Communication and Social Cohesion).

Kursi ini mengiktiraf jasa Tun Dr. Ismail Al-Haj, seorang tokoh yang amat dihormati atas ketegasan, integriti serta komitmennya terhadap perpaduan bangsa. Ia berfungsi sebagai wadah ilmiah dengan tumpuan kepada penyelidikan merentas pelbagai disiplin. Kursi ini bertindak sebagai wahana penyelidikan sekaligus menghubungkan akademia dengan masyarakat, sektor awam serta swasta. Melalui pendekatan akademik, penglibatan profesional dan advokasi awam, Kursi Tun Dr. Ismail bertujuan melahirkan naratif baharu tentang perpaduan yang segar, kritis serta berasaskan realiti sosial mutakhir.

Selain memperkukuh peranan KITA sebagai institusi rujukan utama dalam kajian perpaduan nasional dan serantau, kursi ini turut menyumbang kepada pembentukan dasar serta amalan sosial yang berteraskan nilai kesepaduan sosial. Di peringkat antarabangsa, kewujudannya menyerlahkan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk yang berjaya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian hingga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rujukan global dalam bidang kajian perpaduan.

Dengan penubuhan ini, semangat dan legasi Tun Dr. Ismail sebagai simbol perpaduan negara diangkat semula, selaras dengan aspirasi UKM sebagai universiti watan yang terus menerajui wacana ilmu, memperkukuh jati diri kebangsaan serta membina tamadun madani berasaskan perpaduan.

Sebagai sebahagian daripada mandat nasional memperkukuh agenda perpaduan negara, penubuhan Kursi Tun Dr. Ismail di KITA menegaskan peranan UKM sebagai universiti yang sentiasa proaktif dalam memperjuangkan nilai kebangsaan, memperkukuh jati diri serta membina tamadun berasaskan kesepaduan sosial.

Biografi Tun Dr. Ismail Al-Haj bin Datuk Haji Abdul Rahman (1915–1973)

Tun Dr. Ismail Al-Haj bin Datuk Haji Abdul Rahman merupakan antara tokoh negarawan terulung dalam sejarah pembinaan negara Malaysia moden. Dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1915, beliau datang daripada keluarga bangsawan Melayu yang menitikberatkan pendidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Sejak awal, Tun Dr. Ismail dikenali sebagai seorang yang berdisiplin, tegas, dan berprinsip. Semua sifat yang kemudiannya mentakrifkan seluruh perjalanan hidup dan perjuangannya.

Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Queen’s College, Universiti Melbourne, Australia, dan pada tahun 1945 menjadi doktor perubatan Melayu pertama yang bergraduat dari universiti tersebut. Enam tahun di Australia membentuk keperibadiannya yang terbuka dan pragmatik, di samping memperkukuh pandangannya yang berteraskan pengetahuan. Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan sebelum melibatkan diri secara aktif dalam politik tanah air melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Kecemerlangan beliau segera terserlah. Beliau pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaya ke Amerika Syarikat dan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejurus selepas kemerdekaan. Dalam kapasiti ini, beliau memainkan peranan penting memperkenalkan imej negara baharu yang sederhana dan bebas, serta memperjuangkan dasar luar yang berasaskan keamanan dan keadilan.

Sekembalinya ke tanah air, Tun Dr. Ismail menyertai kabinet Tunku Abdul Rahman dan kemudiannya Tun Abdul Razak dalam pelbagai jawatan penting termasuk Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam pentadbiran, beliau dikenali kerana ketegasannya terhadap prinsip undang-undang dan keadilan. Beliau menentang ekstremisme dalam apa jua bentuk, serta menegaskan bahawa hak istimewa Melayu mesti difahami sebagai langkah sementara ke arah keadilan sosial, bukan alat untuk menindas hak kaum lain.

Peranan beliau amat menonjol selepas peristiwa 13 Mei 1969, apabila beliau dipanggil daripada persaraan politik untuk membantu mententeramkan negara. Sebagai Timbalan Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), beliau menjadi suara moderat yang membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap masa depan Malaysia. Sikap tegas tetapi adil beliau menonjolkan sosok pemimpin yang berpaksikan integriti dan kepentingan awam.

Tun Dr. Ismail dikenali sebagai ‘reluctant politician’ yang tumpuannya adalah menjadi seorang pentadbir dan melihat kuasa sebagai amanah. Kejujurannya menjadi legenda sepanjang zaman. Malah, beliau menolak tindakan populisme dan retorika politik, selain sering menegaskan bahawa seseorang harus dinilai melalui tindakannya.

Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akibat serangan jantung ketika memegang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri, dan kemudiannya menjadi individu pertama disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Kehilangannya dirasai seluruh negara.

Pendek kata, Tun Dr. Ismail dikenang sebagai tonggak perpaduan negara, simbol integriti, dan lambang kesederhanaan dalam politik Malaysia. Legasinya terus hidup sebagai panduan kepada generasi baharu pemimpin dan sarjana dalam memahami makna sebenar perpaduan, keadilan, dan kebertanggungjawaban.

Hubungi Kami

Kursi Tun Dr Ismail
Institut Kajian Etnik (KITA)
Aras 4
Blok Pentadbiran Kolej Keris Mas
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi
Selangor
MALAYSIA.

Telefon: 03-8921 4641

E-mel: perpaduan@ukm.edu.my

Kemas kini terakhir: 17 November 2025