Pekeliling Naib Canselor Bil. 7-2020: Covid-19: Penangguhan Kemasukan Pelajar ke Kampus Secara Fizikal dan Pengendalian Minggu Mesra Mahasiswa serta Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran (PDP) Secara Hibrid Bagi Sem. 1, Sesi 2020/2021

Salam semua,

Dengan hormatnya dipanjangkan pemakluman rasmi dari UKM.

1. Adalah dimaklumkan bahawa pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) amat prihatin dengan situasi semasa dan memandang serius peningkatan kadar jangkitan kes baharu COVID-19 di negara kita. Memandangkan potensi risiko penularan wabak jangkitan yang semakin meningkat, pihak pengurusan Universiti mengambil langkah proaktif untuk MENANGGUHKAN SEMENTARA kehadiran pelajar secara fizikal ke Kampus UKM bagi kategori berikut:

  • Semua pelajar (baharu dan lama) dari Negeri Sabah bagi Semester 1, Sesi 2020/2021; dan
  • pelajar dari mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai ZON MERAH dan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

2. Semua pelajar yang tertakluk dengan arahan tersebut adalah dibenarkan mengikuti kursus secara dalam talian / online learning yang dilaksanakan secara hibrid sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan berasaskan perkembangan terkini COVID-19 dari semasa ke semasa.

3. Bagi mana-mana pelajar dari Negeri Sabah yang telahpun berada di Semenanjung Malaysia melebihi tempoh 14 hari dari tarikh ketibaan di Semenanjung Malaysia adalah dibenarkan hadir secara fizikal ke Kampus tertakluk kepada pembuktian yang dikemukakan kepada pihak Hal-ehwal Pelajar yang menguruskan pendaftaran di Kolej Kediaman masing-masing.

4. Pihak pengurusan Universiti juga sedar terdapat beberapa kategori pelajar yang terkesan akibat daripada arahan ini terutama yang melibatkan keperluan akademik tertentu. Sehubungan itu, Dekan Fakulti atau Pengarah Institut/Pusat boleh mengemukakan permohonan pengecualian khas bagi kategori pelajar tersebut kepada Pusat Pengurusan Akademik (Akademik-UKM) selewat-lewatnya dua (2) minggu sebelum pelajar dijangka tiba ke Kampus. Permohonan ini hanyalah untuk pelajar dari Negeri Sabah dari Zon Hijau dan Zon Kuning sahaja. Setiap permohonan akan dinilai sebelum diberi kebenaran untuk hadir secara fizikal. Bagi mana-mana permohonan yang diluluskan, pelajar tersebut adalah WAJIB menjalani tempoh kuarantin di fasiliti yang dikhaskan oleh pihak UKM selama 14 hari sebaik tiba di Kampus sebelum dibenarkan mengikuti pengajian secara fizikal.

5. Pekeliling ini adalah berkuat kuasa serta merta mulai tarikh ianya dikeluarkan (28 September 2020). Pihak pengurusan Universiti akan sentiasa mengemaskini pemakluman terbaharu tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, semua warga adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri masing-masing sepanjang menjalankan tugas dalam tempoh ini dan terus mengamalkan disiplin sosial yang tinggi.

Kerjasama dan perhatian semua warga Universiti dalam perkara ini adalah amat dihargai.

Sumber: E-mel Penolong Pendaftar Kanan KITA, 29 September 2020

Muat turun Pekeliling Naib Canselor Bil. 7/2020