| |

Meraikan Jasa, Menyambung Legasi KKWP

Oleh: Naqiuddin Abd Haris, Nur Ashiqin Zolkifli

Bagi menghargai jasa dan komitmen Jawatankuasa Kelab Kebajikan Warga Perpustakaan (KKWP) sesi 2023/2025, satu Majlis Makan Tengah Hari Penghargaan Jawatankuasa KKWP telah diadakan secara santai dan sederhana di EzyCafe, Bangi pada 16 Disember 2025.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada barisan jawatankuasa sesi 2023/2025 atas usaha dan komitmen mereka sepanjang menggalas tanggungjawab dalam menggerakkan pelbagai aktiviti kebajikan dan kebersamaan warga perpustakaan. Pada masa yang sama, majlis turut menjadi ruang pertemuan antara jawatankuasa lama dan jawatankuasa baharu KKWP sesi 2025/2027 dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni.

Majlis dimulakan dengan sesi makan tengah hari bersama-sama sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati kepada jawatankuasa sesi terdahulu sebagai simbol penghormatan atas sumbangan yang telah diberikan.

Dalam ucapan beliau, Mantan Pengerusi KKWP sesi 2023/2025, Encik Shamsudin Ibrahim merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Beliau juga berharap agar jawatankuasa baharu dapat meneruskan legasi yang baik dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen.

Sementara itu, Pengerusi KKWP sesi 2025/2027, Encik Naqiuddin turut melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin KKWP bagi sesi baharu. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa terdahulu atas segala sumbangan dan usaha yang telah dicurahkan demi kebajikan warga perpustakaan.

Penyampaian sijil dan saguhati

Walaupun majlis diadakan secara ringkas, suasana penuh santai dan gelak tawa jelas mengeratkan lagi hubungan antara semua yang hadir. En. Shamsudin turut meluangkan masa memberikan nasihat dan berkongsi pengalaman luas beliau dalam pengurusan program kepada jawatankuasa baru. Menariknya, kami turut sempat menikmati “pesta durian” bersama-sama yang menambahkan lagi kemeriahan majlis pada petang tersebut.

Majlis seperti ini bukan sahaja menjadi medium penghargaan kepada mereka yang telah berbakti, malah turut mengukuhkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga perpustakaan. Semoga hubungan baik yang terjalin ini akan terus berkekalan dan KKWP terus menjadi platform yang menyatukan semua warga perpustakaan pada masa akan datang.

Barisan Jawatankuasa Kelab Kebajikan Warga Perpustakaan (KKWP) sesi 2023/2025 & 2025/2027

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *