| |

Memacu Inovasi, Menerajui Transformasi:  Penyertaan Perpustakaan dalam Konvensyen KIK UKM Ke-26

Budaya inovasi dan kreativiti merupakan antara teras penting dalam memastikan sesebuah organisasi kekal relevan, dinamik dan berdaya saing. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) menjadi wadah rasmi yang menghimpunkan idea, kepakaran dan komitmen warga kerja bagi menambah baik proses serta sistem penyampaian perkhidmatan. KIK bukan sekadar satu pertandingan tahunan, sebaliknya ia merupakan satu pendekatan pengurusan yang menggalakkan budaya mengenal pasti masalah secara berstruktur, menganalisis punca secara menyeluruh serta merangka penyelesaian yang praktikal dan boleh dilaksanakan.

Di peringkat perpustakaan, penyertaan dalam KIK amat signifikan kerana perkhidmatan perpustakaan sentiasa berhadapan dengan perubahan kehendak pengguna, perkembangan teknologi maklumat serta cabaran pengurusan sumber yang semakin kompleks. Justeru, platform KIK ini memberi peluang kepada warga perpustakaan untuk menilai semula proses kerja sedia ada, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan seterusnya mencadangkan inovasi yang dapat meningkatkan kecekapan operasi serta kepuasan pelanggan. 

Sehubungan itu, UKM telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat UKM Ke-26 pada 11 hingga 12 Februari 2026 di Auditorium Akademia Siber Teknopolis. Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan daripada 16 Kumpulan inovasi, dan tiga daripadanya adalah dari Perpustakaan UKM. Kumpulan Mizan dari Perpustakaan Undang-Undang UKM telah mengangkat masalah berkaitan buku baharu yang kurang mendapat sambutan sebagai fokus projek

mereka. Sementara itu, Kumpulan Arkivis dari Unit Arkib dan Koleksi Khas, PTSL memfokuskan kepada masalah pengurusan bahan arkib yang masih berada pada tahap rendah. Kumpulan Serve-U dari Unit Pendidikan Pelanggan, PTSL pula memberi perhatian kepada masalah maklum balas di kaunter rujukan yang mengambil masa lama. 

Sebelum melangkah ke pentas konvensyen, semua kumpulan telah melalui proses persediaan yang rapi melalui beberapa siri latihan anjuran Jawatankuasa Inovasi dan Transformasi (INTRA) UKM. Siri pertama telah diadakan pada 15 – 16 Mei 2025 di Bilik Bankuasi, Canselori, diikuti Siri Kedua pada 19 – 21 September 2025 di Ehsan Seaview Hotel, Port Dickson. Seterusnya, Siri Ketiga berlangsung pada 10 Disember 2025 di Auditorium PL2 dan Siri Keempat pada 14 – 15 Januari 2026 di Bilik Seminar Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK). 

Peserta Bengkel INTRA UKM Siri 1/2025 bergambar kenangan selepas sesi latihan inovasi di Canselori UKM 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *