Tema Penyelidikan EHaC

Teknologi Hijau

Teknologi Hijau adalah berkaitan dengan pembangunan dan pengaplikasian sesuatu produk, peralatan serta sistem dengan mengambil perhatian kepada pemeliharaan alam sekitar dan pengurangan kesan negatif daripada aktiviti-aktiviti manusia. Kajian kluster kesihatan sekitaran (EhaC) lebih memfokus kepada produk, peralatan, atau sistem yang boleh meminimumkan degrasi kepada persekitaran, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Selain itu, kajian-kajian kami juga berkenaan dengan penjimatan tenaga dan sumber asli serta mencari kaedah alternatif kepada sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Antara kajian yang sedang dijalankan di bawah tema ini adalah Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air; rawatan kumbahan dan sisa pepejal domestik dan pembandaran; pembangunan bahan nano dan sisa organik untuk rawatan air sisa; aplikasi biokejuruteraan ke atas kestabilan cerun serta penggunaan bahan pertanian seperti baja dan pestisid yang mesra alam.

 

Kelestarian Alam Sekitar

Kelestarian alam sekitar bermaksud memastikan keadaan dan segala komponen yang ada di dalam persekitaran kekal terpelihara. Kajian kluster EHaC bagi tema ini menjurus ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Antara kajian yang dijalankan adalah aplikasi penderiaan jauh dan GIS dalam meramal potensi risiko hakisan dan pemetaan beban sedimen, pengesanan plum sungai, penilaian kesesuaian tanah untuk pertanian. Selain itu, kluster EHaC juga melakukan kajian berkenaan pemantauan dan penilaian risiko pencemaran terhadap alam sekitar.

 

Kesihatan Sekitaran

Kesihatan sekitaran adalah suatu tema yang menampilkan konsep kesedaran dan pengetahuan berkenaan aspek persekitaran semulajadi dan persekitaran buatan yang mempunyai hubungkait dengan kesihatan manusia. Kajian kluster EHaC bagi tema kesihatan sekitaran adalah memfokus kepada rawatan air minum, kandungan bahan pencemar di dalam persekitaran biotik dan abiotik serta mencari penyelesaian kepada pelepasan bahan pencemar yang boleh memberikan kesan langsung kepada manusia.