22 Pelajar Hangzhou Dianzi University Timba Pengalaman Kejuruteraan di UKM


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2018 – 22 pelajar dan dua pensyarah daripada Hangzhou Dianzi University, China menimba pengalaman kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui program Mobiliti Hangzhou Dianzi.

Program Mobility Hangzhou Dianzi yang diadakan buat kali pertama di FKAB itu bertujuan untuk memberi pengalaman bidang kejuruteraan kepada pelajar kejuruteraan tahun kedua dan ketiga daripada China selain merasai suasana di Malaysia.

Dekan FKAB, Prof Ir Dr Shahrir Abdullah berkata, matlamat mereka adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai Malaysia.

“Kami mahu para pelajar lebih celik dari segi budaya dalam persekitaran yang berbeza-beza kerana dengan ini kami dapat menyediakan para pelajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran globalisasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal, Ir Dr Zambri Harun berkata, program itu tercetus apabila dua penyelidik daripada FKAB, Prof. Madya Ir Dr Abu Bakar Sulong dan Prof Madya Dr Zainuddin Sajuri melakukan penyelidikan dengan Profesor Fujan dari Hangzhou Dianzi University.

Program ini telah berjaya dirancang dan dijalankan hasil pertukaran maklumat dan idea daripada ketiga-tiga akademia tersebut, katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kursus yang diajar untuk memastikan program itu berjaya mencapai objektifnya iaitu teknologi dan etika, kejuruteraan dan pembuatan serta latihan makmal.

“Kita amat berbangga kerana daripada dua universiti tempatan lain di Malaysia, Hangzhou Dianzi University telah memilih UKM untuk menjalankan program ini. Kami bertekad untuk memberikan yang terbaik dari segi pendidikan, pengalaman serta layanan,” katanya.

Timbalan Dekan Jaringan dan Penjanaan FKAB, Prof. Madya Dr Siti Aminah Osman berkata, program seperti itu adalah matlamat fakulti untuk mewujudkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Hangzhou Dianzi University pada tahun akan datang.

Program Mobility Hangzhou Dianzi yang diadakan selama empat minggu itu adalah kerjasama antara Pusat Perhubungan Antarabangsa (UKM Global) dan FKAB.