Pasukan Varsiti Malaysia Menang Pusingan Akhir Ocean Hackathon® untuk Aplikasi JellyGo


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Dr Wee Hin Boo

Brest, Perancis – Sepasukan pelajar dan pegawai penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi hadiah utama pertandingan Ocean Hackathon® bagi aplikasi mudah alih pengesan obor-obor, JellyGo.

Aplikasi tersebut adalah berdasarkan projek mereka yang bertajuk, “Pembangunan model ramalan untuk pengedaran dan penampilan obor-obor di Pulau Pinamg”.

Projek tersebut pada mulanya dikemukakan oleh Sim Yee Kwang, pegawai kanan sains dari Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM yang juga merupakan ketua pasukan.

Pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik, telah dianugerahkan geran sebanyak 5000-euro (RM 23 000) untuk membangunkan projek tersebut.

Pelajar terbabit ialah Yu Hai Ping, Nur Izatti Zaini, Teoh Hwai Leng, dan Mai Izatul Nuraishah Mior Hazri dari UKM, Sim Yee Kwang dari USM, dan Chong Yoong Sim, Wong E Chern, Kok Herng dari UM.

Menurut salah seorang tutor dari Institut Perubahan Iklim UKM, Dr Wee Hin Boo, projek itu bertujuan untuk meramalkan obor-obor mekar (bloom) di kawasan pantai Pulau Pinang dan mengehadkan kesan organisma marin ini terhadap industri pelancongan Malaysia.

“Aplikasi ini bertujuan untuk menyediakan maklumat dan sistem amaran di kawasan yang dipenuhi obor-obor, serta bantuan sekiranya berlaku sengatan.

“Projek ini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Pulau Pinang untuk terus memantau taburan obor-obor di negeri ini.

Tambahnya, aplikasi tersebut terdiri daripada tiga komponen iaitu: model pembelajaran berterusan yang meramalkan obor-obor mekar (bloom) berdasarkan kelimpahan obor-obor dan data persekitaran; sistem SOS yang menyediakan bantuan perubatan kecemasan kepada mangsa sengatan obor-obor; dan hab pendidikan yang menyediakan maklumat mengenai obor-obor.

“Sistem SOS juga akan memberi amaran kepada peranti lain yang berdekatan dengan kejadian sengatan untuk memberi amaran kepada orang lain supaya berhati-hati.

“Alat pengimejan terlatih AI akan digabungkan untuk mangsa mengambil gambar parut sengatan atau obor-obor untuk keperluan bantuan perubatan.

“Aplikasi itu boleh memyambungkan peranti mangsa kepada bantuan perubatan terdekat untuk dihantar ke lokasi dengan peralatan perubatan yang sesuai,” katanya.

Jelasnya lagi, Hackathon memainkan peranan penting dalam menghimpunkan peserta dan tutor dari seluruh Malaysia untuk menyelesaikan masalah kehidupan sebenar berkaitan lautan.

“Pasukan pemenang terdiri daripada bidang Sains Marin, Sains Alam Sekitar, Sains Komputer dan Pengaturcaraan.

“Ini menunjukkan bahawa pendekatan pelbagai disiplin adalah penting untuk menangani cabaran global dan kami mempunyai bakat untuk membangunkan alat dan teknologi sedia industri,” katanya mengakhiri.

Pasukan ini juga telah memenangi Ocean Hackathon® Kuala Lumpur, yang diadakan buat kali pertama pada Disember 2022 dan dianjurkan oleh Dr. Valérie Barbosa, Pegawai Saintifik di Kedutaan Perancis ke Malaysia.

Kedutaan juga menyediakan dana dan bimbingan untuk semua ahli pasukan supaya mereka dapat bersaing di peringkat grand final dalam keadaan terbaik.