AKPK-UKM-HSBC Tingkat Literasi Kewangan


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Mac 2019 –  Agensi Kewangan Dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama HSBC Bank Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkolaborasi dalam meningkatkan literasi kewangan kepada pelajar universiti menerusi Program Kembara Bijak Wang 2019.

Melalui program tersebut, UKM akan memastikan keberkesanannya dengan tinjauan pra dan pos program menerusi portal dalam talian selain menyediakan tempat penginapan dan aktiviti seperti memburu harta karun.

Hampir 4,000 pelajar dari 16 universiti seluruh negara akan didedahkan kepada taklimat pendidikan kewangan, pembelajaran secara dalam talian dan pemburuan harta karun dalam program tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata usaha itu dapat meningkatkan literasi kewangan seterusnya dapat menangani bankrupsi dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu mula pada umur muda dan pendedahan literasi kewangan di peringkat universiti adalah penting kerana mereka adalah pimpinan akan datang.

“Jangan takut dan gentar untuk meminta bantuan khususnya dari segi pendidikan kerana literasi kewangan sangat penting,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Bijak Wang 2019, di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, masalah bankrupsi dalam kalangan remaja dilihat serius kerana gagal dalam merancang perbelanjaan.

“Literasi kewangan amat penting seperti mengetahui apa yang perlu dilakukan, apa tidak perlu dilakukan dalam berbelanja.

“Tinjauan data yang diperoleh melalui program ini akan digunakan untuk penyelidikan dalam ekonomi,” ujarnya.

Turut diadakan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) Antara UKM Dan AKPK serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara AKPK dan HSBC Bank Malaysia.