Bapa dan Anak Kongsi Pentas Graduasi Bersama


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 3 November 2019 – Berkongsi pentas yang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47 merupakan detik terindah buat seorang bapa dan anak yang telah menamatkan pengajian bersama-sama.

Zulkafli Amat, 57, menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) manakala anak ketiganya, Nazatul Husna, 25, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP).

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan seronok kerana dapat menamatkan pengajian dan bergraduasi bersama anak pada kali ini,” kata Zulkifli.

Beliau yang juga merupakan Pegawai Tadbir di UKM berasa sangat terharu kerana sepanjang 28 tahun beliau bertugas di Majlis Konvokesyen UKM, pada hari ini beliau diraikan di atas pentas selepas tujuh tahun melanjutkan pengajian.

Katanya, cabaran yang beliau hadapi dalam melanjutkan pengajian adalah kekangan masa yang agak terhad.

“Saya banyak meluangkan masa di pejabat pada waktu hujung minggu untuk memberi fokus kepada tesis dan perlu mendisiplinkan diri bagi menyiapkan tesis pengajian saya.

“Sokongan rakan-rakan dan keluarga telah memotivasikan saya untuk terus fokus dan tidak berputus asa menghabiskan pengajian ini,” katanya.

Zulkafli turut merakamkan ucapan terima kasih kepada UKM kerana memberinya peluang untuk menyambung pengajian dan dalam masa yang sama dapat meneruskan pekerjaan di universiti itu.

Bagi Nazatul Husna, beliau juga bersyukur dan sangat gembira kerana dapat meraikan kejayaan bersama bapanya yang sentiasa memberi semangat kepadanya untuk terus berusaha dan menamatkan pengajian.

Katanya, walaupun terpaksa membahagikan masa antara keluarga dan pengajian, beliau dapat menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan.

“Saya terpaksa berhenti kerja untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian saya ini. Terima kasih kepada keluarga terutamanya kepada suami yang banyak memberi sokongan dan dorongan dalam perjalanan saya untuk menamatkan pengajian,” katanya.