Berita Penting Sebar Pantas

1
Oleh Vinoothene Chandrasekaran
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 12 April 2016 – Semakin besar nilai sesebuah berita, semakin cepat ia akan tersebar, kata Profesor Dato’ Sri Dr Syed Arabi Idid, Professor Adjung di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Malah, sebelum zaman media sosial dan internet pun, beliau berkata kadar  penyebaran berita bergantung kepada minat orang awam kepada isu tersebut, masa kejadian tersebut berlaku dan sama ada ia telah dijangka.

“Salah satu ciri aliran berita adalah kepentingannya kepada penonton.

“Peristiwa yang penting kepada para penonton mungkin merebak lebih cepat,” kata beliau pada syarahan awam bertajuk Kajian Penyebaran Berita: Kes-Kes Malaysia Dalam Konteks Global, baru-baru ini.

Sebagai contoh, berita mengenai kehilangan pesawat MH370 pada Mac tahun 2014 tersebar dengan agak pantas kerana laporan awal melalui rangkaian TV antarabangsa telah disiarkan semasa waktu perdana dan pengguna media sosial juga telah banyak membuat spekulasi mengenai tragedi tersebut.

Sebaliknya, walaupun ada kepentingan awam, berita penembakan jatuh pesawat MH17 mengambil masa yang agak lama untuk tersebar kerana kejadian itu berlaku lewat malam apabila kebanyakan rakyat Malaysia sedang tidur.

Beliau berkata hanya mereka di Malaysia yang menonton televisyen rangkaian 24 jam seperti CNN, BBC dan SkyNews mendapat maklumat awal dari berita terkini, tentang kejadian tersebut.

Dengan berlandaskan teori ‘News Diffusion‘, Prof Syed Arabi telah mengupas dan mendalami cara berita antarabangsa dan tempatan tersebar kepada rakyat Malaysia.ukmnewsportal-bm
2

3