Buat Saringan Untuk Kesan Penyakit Mata Glaukoma Jika Usia 40 Tahun Ke Atas

1
Laporan dan Foto Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2016 – Orang yang berusia lebih 40 tahun dan mempunyai sejarah penyakit glaukoma atau kencing manis dalam keluarga,  perlu menjalani pemeriksaan lengkap mata dengan pakar mata setiap satu hingga dua tahun, kata Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Oftalmologi Prof Madya Jemaima Che Hamzah.

Beliau berkata pembentukan tekanan di dalam mata yang berkaitan dengan Glaukoma pada lazimnya diwarisi dan mungkin tidak muncul sehingga usia lanjut.

Glaukoma adalah keadaan yang menyebabkan saraf optik mata rosak dan menjadi lebih teruk dengan peredaran zaman.

Ketua Jabatan Oftalmologi dan pakar perunding d Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu  menyatakan, adalah penting mereka menjalani saringan  mata secara berkala supaya penyakit dikesan dan dirawat, memandangkan penghidap biasanya tidak menunjukkan tanda-tanda awal atau sakit dari tekanan mata.

“Jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau sejarah keluarga glaukoma atau berisiko untuk penyakit-penyakit mata yang lain, anda harus  melawat doktor mata anda dengan lebih kerap,” jelas beliau pada taklimat media mengenai perkhidmatan Jabatan Oftalmologi HCTM dan peralatan canggih untuk rawatan mata, di sini hari ini.

Glaukoma biasanya berlaku apabila tekanan dalam mata meningkat, seperti cecair mata tidak beredar di bahagian depan mata.

“Tekanan meningkat, dipanggil tekanan intraokular, boleh merosakkan saraf optik, yang menghantar imej ke otak. Jika kerosakan pada saraf optik dari tekanan mata yang tinggi berterusan, glaukoma akan menyebabkan kehilangan penglihatan selama-lamanya. Tanpa rawatan, glaukoma boleh menyebabkan buta kekal dalam masa beberapa tahun,” beliau memberi amaran.

Beliau berkata pemeriksaan awal adalah kunci untuk melindungi penglihatan anda dan HCTM mempunyai alat terbaru, Heidelberg Spectralis Glaukoma Premium Modul Edition (GPM), untuk melakukannya.

Menurut Dr Jemaima GPM mengimbas saraf optik dan boleh mengesan anomali yang mungkin menyebabkan kerosakan penglihatan kelaki.

Imbasan  Optical Coherence Tomography (OCT) juga dilakukan pada retina untuk melihat sama ada terdapat kerosakan awal.

Beliau berkata jika kedua-dua ujian menunjukkan kemungkinan yang tinggi penglihatan merosot, pemeriksaan lanjut akan menentukan sama ada glaukoma akan muncul.

Selain daripada keturunan, glaukoma juga boleh berlaku akibat kecederaan tumpul atau kimia, jangkitan mata yang teruk, saluran darah di mata tersumbat,  radang mata, dan kadang-kadang pembedahan mata untuk membetulkan penyakit lain.ukmnewsportal-bm