Dr. Kassim Bahali Raih Anugerah Emas Kedoktoran di Usia 59 Tahun


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 November 2019 – Melanjutkan pelajaran di usia yang mengahmpiri usia emas, bukanlah penghalang dan alasan bagi Dr. Kassim Bahali mencatat kecemerlangan seterusnya menerima Anugerah Emas Kedoktoran di Majlis Konvokeesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47.

Beliau yang kini mencecah umur 59 tahun tidak sedikit pun menyesal apabila membuat keputusan untuk menlanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) walaupun pelbagai cabaran dihadapinya.

“Semasa melengkapkan kajian PhD, saya hanya tidur dua hingga tiga jam sehari dan itu bukanlah penghalang untuk saya merealisasikan impian bergelar Doktor Falsafah,” katanya.

Bercerita tentang permulaannya melanjutkan pelajaran, Kassim berkata, beliau telah didorong dengan persoalan kenapa waktu subuh di negara-negara Islam lain (Timur Tengah) berbeza dengan di Alam Melayu?

“Jadi, saya menjalankan penyelidikan bagi mementukan waktu subuh yang sebenar. Sepanjang pengajian saya ini, saya telah menjelajah di 27 lokasi di pelusuk Alam Melayu iaitu beberapa tempat di Semenanjung Malaysia, Sabah hingga ke Gapura, iaitu sebuah desa kecil di Madura, Indonesia dan juga di Selatan Thailand.

“Kajian yang saya buat ini adalah untuk merungkai persoalan perhitungan waktu subuh yang tepat, yang dihitung dengan kiraan falak, bertepatan dengan waktu sebenar terbit fajar di Alam Melayu,” katanya.

Dalam usahanya itu, beliau turut dibantu oleh rakan-rakan dari NGO yang turut berminat menjalankan kajian mendalam berhubung penyelidikan tersebut, terutama dari Persatuan Falak Syar’i Malaysia.

Berpegangn pada kata-kata tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad menjadikan beliau membulatkan tekad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, selain mahu memberi motivasi kepada anak-anak dan generasi muda bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya.

Beliau juga bersyukur dan berterima kasih kepada isteri tercinta yang menjadi penyuntik semangat di setiap waktu susah dan senangnya dalam memastikan beliau terus bangun dikala jatuh dan terus berjaya.

Kassim yang menamatkan pengajian PhD di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) adalah anak kelahiran Pontian, Johor.

Beliau adalah bapa kepada tujuh orang cahaya mata dan apa yang lebih manis untuk Majlis Konvokesyen ini adalah Kassim telah bersama-sama bergraduasi bersama anak keempatnya, Siti Nur Mardhiah, graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.