Gugusan HCTM Johan Sukan Staf UKM 2018


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Julai 2018 – Gugusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dinobatkan sebagai Johan Kejohanan Sukan Staf Antara Gugusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2018 selepas memenangi 10 pingat emas, 10 perak dan sembilan gangsa.

Tempat kedua disandang oleh Gugusan Sains dengan sembilan emas, tujuh perak dan tujuh gangsa manakala Gugusan Perkhidmatan menduduki tangga ketiga selepas mengumpul lima emas, lima perak dan satu gangsa.

Pada majlis penutup kejohanan tersebut, Gugusan Pentadbiran telah diumumkan sebagai Johan bagi pertandingan perbarisan.

Pendaftar UKM, Abd Razak Hussin dalam ucapannya berkata, semangat muhibah dan persaudaraan adalah tunjang perpaduan bagi mengukuhkan silaturrahim di antara kakitangan tanpa mengira pangkat, kaum dan budaya yang boleh dizahirkan melalui kejohanan sukan ini.

Saya berharap agar warga UKM dapat mempamerkan kualiti dalam pelbagai bidang dan bergiat aktif dalam sukan, seterusnya mengharumkan nama UKM, katanya.

Perasmian majlis penutup kejohanan sukan itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Ibrahim Saad.