KPT Sasar Setiap Universiti Awam Laksana iCGPA pada 2019


Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi


KUALA LUMPUR, 17 Julai 2017 – Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mensasarkan semua fakulti di setiap universiti awam untuk melaksanakan sistem Integrated Cumulative Grade Point Average (iCGPA) pada tahun 2019.

Menterinya, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata pada tahun ini, semua 20 universiti awam telah melaksanakan iCGPA bagi membuat penilaian tambahan kepada pelajar.

“Sehingga Mac lepas (2017) sebanyak 153 fakulti melibatkan 334 program pengajian di 20 UA telah laksanakan iCGPA.

“Selain universiti awam, politeknik dan kolej komuniti juga turut melaksanakan iCGPA. Sebanyak enam politeknik dengan 35 program pengajian dan 15 kolej komuniti dengan tujuh program pengajian telah laksanakan iCGPA,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa iCGPA di sini, hari ini.

Beliau berkata penilaian iCGPA adalah penambahbaikkan daripafa CGPA yang dilaksanakan di semua universiti.

“iCGPA adalah penilaian sebelum, semasa dan selepas proses pembelajaran yang dibuat kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi.

“Ia membolehkan mahasiswa memperbaiki kemahiran dan kualiti mereka dalam bidang akademik dan nilai-nilai insaniah.

“Lima universiti terawal yang telah melaksanakan sistem itu — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) — telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dan melebihi jangkaan kementerian,” ujarnya.

Dato’ Seri Idris berkata Malaysia adalah negara pertama yang melaksanakan penilaian seperti itu.

“Belum ada lagi universiti luar negara termasuk Havard University, Oxford University dan Stanford University melaksanakan penilaian seperti ini.

“Bahkan persidangan kita hari ini turut disertai oleh beberapa wakil dari universiti luar negara kerana mereka mahu belajar dengan kita tentang penilaian iCGPA ini,” jelasnya.

Katanya beliau gembira kerana Universiti Swasta turut berminat dengan penilaian itu.

“Mereka (Universiti Swasta) menyabut cabaran kementerian melaksankan penilaian ini dan ada beberapa universiti swasta turut hadir ke persidangan ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata beliau percaya iCGPA dapat menilai pembangunan pelajar dengan membina etika pembelajaran, kebolehan dan pengetahuan pelajar dalam meningkatkan potensi akademik dan kemahiran insaniah pelajar.

“Ini adalah sangat penting dalam menghadapi permintaan Revolusi Industri ke-4,” katanya.

Persidangan tiga hari dengan tema ‘Nurturing Holistic, Entrepreneurial and Balanced Graduates’ telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari UA termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti, Universiti Swasta dan peserta dari luar negara.