Menghargai Kepelbagaian Biologi Ekosistem Sawit

01

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto: Abd Ra’ai Osman

BANGI, 4 Jan 2016 – Lebih 50 murid sekolah belajar mengenai kepelbagaian biologi di dalam ekosistem sawit dan implikasinya terhadap perubahan iklim.

Melalui aktiviti ini, kepentingan dan kelebihan perladangan sawit diceritakan kepada murid-murid sekolah tersebut.

Mereka yang datang dari tiga sekolah di sekitar Bangi menyertai Kem Sehari Skuad Palma Emas di Hutan Pendidikan Alam pada 29 Disember yang lalu.

Program ini dianjurkan oleh Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD, Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Pengarah IPI Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, dalam kata-kata aluannya, berharap kanak-kanak akan sedar bahawa kelapa sawit membawa banyak keuntungan kepada negara dalam bentuk makanan yang berkhasiat.

“Kita didik mereka mengenai kelapa sawit dengan mengambil bahagian dalam Skuad Palma Emas – The Golden Palm Squad. Kami menghasilkan buah sawit secara mesra alam. Usaha ini saya yakin berbaloi dan dalam tempoh 10 tahun kita akan nampak hasilnya.

“Pandangan negara-negara luar terhadap pembangunan kelapa sawit tidak lagi hodoh, kerana perasaan dan kepercayaan kita terhadap kelapa sawit.

“Ini merupakan pelancaran pertama Skuad Palma Emas. Kemudian kita akan laksanakan seluruh negara,” beliau menerangkan.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Sharifah Mastura sekumpulan fasilitator yang terdiri daripada 20 orang pelajar pasca siswazah FST memberi latihan dalam beberapa aktiviti yang diaturkan untuk kem sehari tersebut.

Beliau, yang juga penyandang Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD, berkata IPI telah menyediakan dua jilid buku panduan, iaitu buku asas dan buku aktiviti untuk kanak-kanak yang mengambil bahagian.

“Saya kagum dengan penyelidik kita yang berjaya menyusunkan maklumat yang biasanya terdapat dalam bentuk saintifik rumit, boleh dijadikan mudah untuk kanak-kanak memahami. Saya sendiri berminat membaca buku-buku itu yang menjelaskan peranan kelapa sawit dalam ekosistem dan proses menghasilkan minyak sawit,” kata beliau.

Kem satu hari ini dilancarkan oleh Hjh Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YSD yang memberitahu Portal Berita UKM, program ini perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain.

“Kita tunjukkan kepada kanak-kanak sekolah apa yang boleh ditemui dalam ladang sawit. Flora dan fauna dan kaitannya dengan kelapa sawit. Kalau tidak mereka tidak tahu tentangnya. Kita terangkan tentang bahagian-bahagian pokok sawit, seperti buah, dahan, fungsi ekosistem sawit dan kebaikan minyak sawit.

“Serangga yang terlibat dengan tanaman kelapa sawit, seperti kumbang yang melakukan pendebungaan buah sawit turut didedahkan. Harapan kita supaya maklumat yang terkandung dalam buku-buku ini boleh digunakan di seluruh Malaysia pada masa akan datang.

“Kalau kita tidak buat begini kanak-kanak akan dapat persepsi yang salah mengenai industri sawit melalui saluran-saluran lain seperti internet yang penuh dengan propaganda anti industri sawit. Kalau yang rajin membaca akan mendapat pandangan yang salah. Maka kita perlu menerangkan fakta sebenar supaya mereka benar-benar faham mengenai industri ini.

“Palma emas ialah industri yang kedua terbesar negara kita, dan adalah penting bagi kita memberitahu generasi muda sebelum pemikiran mereka diracuni oleh tanggapan negatif tentang industri sawit,” beliau menjelaskan.

Selepas program pengenalan asas tajaan YSD ini, yang menumpukan kepada kepelbagaian biologi ekosistem sawit, Yatela mencadangkan IPI seterusnya untuk mengarang buku resipi masakan menggunakan bahan-bahan berasaskan bahan sawit.

Ahli jawatankuasa program Prof Madya Dr Norela Sulaiman, berkata satu buku yang diterbitkan oleh YSD bertujuan memberi maklumat asas mengenai kepelbagaian biologi ekosistem sawit, manakala yang satu lagi iaitu buku aktiviti untuk peserta menguji kefahaman dari pembacaan buku asas dan aktiviti yang dijalankan sepanjang program.  Antara aktiviti yang diaturkan ialah sesi pengenalan tentang perubahan iklim dan kelapa sawit, melawat ladang sawit, pengenalan tumbuhan dan haiwan di ekosistem sawit dan pengumpulan sampel serangga.

Pada tahun 2012, Kursi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim telah ditubuhkan untuk meneruskan usaha-usaha dalam menangani perubahan iklim dan masalah alam sekitar yang dihadapi dunia masa kini dan akan datang.ukmnewsportal-bm
02

03 04