Menjelaskan Konsep Sebenar Jihad Dalam Hidup Harian Kepada Remaja

01
Laporan dan foto oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 22 Feb 2016 – Satu kajian yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia pada tahun 2015 menunjukkan bahawa masih terdapat sejumlah besar warganegara yang tidak mengetahui bahawa keganasan bukan sebahagian daripada Jihad atau Islam.

Namun demikian, kebanyakan responden bersetuju keganasan bukan cara  terbaik untuk berdakwah ajaran Islam, menurut kajian yang dilakukan oleh Perhimpunan Belia Islam Dunia (WAMY), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang diasaskan pada tahun 1973 dan didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan ibu pejabat di Arab Saudi.

WAMY di Malaysia melahirkan kebimbangan bahawa tanggapan negatif Jihad telah membuat pertubuhan Islam, malahan agensi-agensi kerajaan juga  menjauhkan diri daripada menggunakan istilah Jihad dalam kerja mereka.

“Selagi konsep Jihad masih tidak jelas, remaja kita akan salah faham konsep dan menyertai Daesh atau I-S,” kata Ustaz Shahrin Awaludin, Ketua Pegawai Eksekutif WAMY Malaysia pada pembentangan laporannya bertajuk Jihad Hari Ini sebagai sebahagian daripada perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pergerakan tersebut.

Daesh adalah singkatan dalam bahasa Arab yang bermaksud Negara Islam Iraq dan Syria.

Shahrin berkata WAMY bimbang bahawa kaji selidik itu menunjukkan bahawa walaupun 55% daripada responden menolak keganasan dalam perjuangan Jihad, 45% menjawab bahawa mereka tidak tahu sama ada peperangan perlu atau tidak.

Sekurang-kurangnya 70% daripada semua 60 responden beragama Islam.

Shahrin berkata untuk menangani imej buruk Jihad dan Islam, WAMY dan Fakulti Pengajian Islam di UKM bersetuju untuk bergabung tenaga untuk memaklumkan kepada orang ramai – terutama remaja – mengenai konsep tersebut secara tepat melalui alam siber dan cara konvensional.

Beliau berkata  mereka akan menggunakan media sosial dan menjemput pengguna untuk bertanya soalan mengenai Jihad manakala jawapan akan dijawab secepat mungkin.

Pada masa yang sama, beliau melahirkan harapan bahawa WAMY dan UKM akan bersama-sama menerbit risalah untuk diagihkan kepada orang ramai tentang kepentingan Jihad sebagai kewajipan yang perlu dipenuhi oleh semua ummah.

Dari sudut linguistik, beliau menjelaskan makna yang paling hampir dengan istilah Jihad dalam bahasa Inggeris bermaksud berusaha dengan sedaya upaya  dalam perjuangan.

Beliau berkata objektif utama Jihad adalah untuk mewujudkan satu sistem yang adil dan saksama yang membawa kesejahteraan kepada semua yang mana  semua taraf sosial diberi peluang untuk berkembang maju dan mencapai kejayaan.

UKM dan WAMY turut menandatangani surat hasrat mengenai penyelidikan bersama dan penganjuran persidangan.ukmnewsportal-bm

02

03