Pelajar Pusat GENIUS@Pintar Sedia Harumkan Nama Negara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Oktober 2019 – Pasukan Robotik GENIUS@Pintar dan Pasukan Vencera dari Pusat GENIUS@Pintar Negara sedia mengharumkan nama Malaysia terutamanya Universiti Kebangsaan Malaysia apabila kedua-dua pasukan itu bakal mewakili negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pasukan Robotik GENIUS@Pintar yang terdiri daripada tiga pelajar iaitu Loo Qiao Ning, Harun Azhar dan Ahmad Azzam Mohamad akan membentangkan projek bertajuk Equinox Metropolitan di pertandingan World Robot Olympiad 2019 yang akan berlansung di Gyor, Hungary, pada November ini.

Pasukan tersebut yang akan bertanding bersama 70 pasukan dari negara lain telah mencipta prototaip menggunakan set robotik Lego Mindstorms untuk mengawal penggunaan lampu jalan, menghantar signal kecemasan dari lalu lintas, mengawal situasi tapisan air kotor dari saluran longkang dan seterusnya meningkatkan keselamatan pengguna lalu lintas.

Sistem yang dibuat itu akan dihubungkan dengan satu kawalan berpusat iaitu IoT Control Unit (Internet of Things).

Pasukan Robotik GENIUS@Pintar telah mendapat penajaan dari UEM Edgenta Berhad selain turut melawat UEM Agenta Berhad bagi mendapatkan gambaran tentang bagaimana sebuah Smart City di bina di Malaysia.

Sementara itu, pasukan Vencera melaui aktiviti F1 akan mewakili Malaysia ke World Final F1 in School di Yas Island, Abu Dhabi, November ini.

Dalam pertandingan itu nanti, pasukan yang terdiri daripada enam orang pelajar itu perlu memastikan prototaip kereta yang dicipta boleh bergerak pantas dan stabil. Jadi, bagi mencapai kelajuan itu, pilihan bahan sangat penting dan akan menjadi sangat mahal.

Bagi menampung kos tersebut, pasukan Vencera telah mendapat penajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Petronas dan Yayasan Pahang untuk pertandingan itu.

Pengarah Pusat GENIUS@Pintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berbangga dengan kejayaan yang telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar tersebut dan berharap agar kemenangan menjadi milik mereka.

“Dari peringkat awal lagi apabila kelab terbentuk, pelajar kami akan berusaha keras untuk menang pada setiap peringkat pertandingan. Mereka juga berusaha untuk bersaing pada peringkat antarabangsa, akhirnya mendapat peluang pertama pada 2015.

“Usaha pelajar ini akan diteruskan untuk generasi akan datang dan menjadi program legasi untuk pelajar kami,” katanya.