Penyelidikan Rawatan Sisa Kumbahan Kelapa Sawit di UKM Paling Komprehensif


Oleh Nadia Sapuan dan Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 17 Mac 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah universiti pertama yang menjalankan penyelidikan rawatan sisa kumbahan kelapa sawit daripada segala aspek dan paling komprehensif, kata Pengurus Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD: Teknologi Sifar, Prof Ir Dr Mohd Sobri Takriff.

Beliau berkata walaupun banyak penyelidikan yang dijalankan mengenai sisa kumbahan kelapa sawit, namun penyelidikan yang dilakukan di Makmal Pemerangkapan Karbon di UKM adalah penyelidikan paling komprehensif kerana penyelidikannya adalah daripada pelbagai aspek seperti sisa pepejal dan rawatan kandungan air.

“Makmal ini menjalankan rawatan efluen sisa kelapa sawit dan pemerangkapan karbon dioksida menggunakan alga asli yang telah diasing dan ditulenkan.

“Antara bidang penyelidikan yang dijalankan di dalam makmal ini adalah pemerangkapan karbon dioksida menggunakan alga, pengasingan dan penulenan mikroalga asli bertujuan untuk meningkatkan pemerangkapan karbon dioksida dan penggunaan biojisim dari mikroalga untuk penghasilan produk-produk yang berkualiti,” katanya.

“Mengikut statistik penghasilkan sisa kumbahan, bagi satu tan minyak kelapa sawit yang diproses akan menghasilkan sebanyak empat tan sisa kumbahan yang akan dikeluarkan. Jadi di Malaysia, setiap tahun akan diproses 20 juta tan minyak yang kemudiannya akan mengeluarkan 80 juta tan sisa kumbahan dan ini merupakan satu jumlah yang sangat besar dan akan menjejaskan alam sekitar jika tidak dikawal dengan baik,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Makmal Pemerangkapan Karbon Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD: Teknologi Sisa Sifar dan Soft Launch Buku-Buku di Bawah Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD di sini, baru-baru ini.

Menurut Prof Dr Mohd Sobri, kerjasama yang erat bersama  Sime Darby sangat memudahkan urusan penyelidikan kerana Sime Darby bukan hanya menyediakan dana malah menyumbang tenaga dan penggunaan makmal.

“Jadi dengan berkongsi sumber dan bahan penyelidikan, kita dapat memendekkan tempoh penyelidikan dan pencapaian dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau menambah, terdapat loji pandu yang telah dibina di kilang kelapa sawit milik Sime Darby di Bestari Jaya  yang berfungsi untuk merawat sisa kumbahan kelapa sawit dan akan berfungsi sepenuhnya pada 15 Mac ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi YSD, Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Noordin berkata untuk projek penyelidikan ini, Prof Dr Mohd Sobri dibantu oleh seorang post-doctoral fellow, dua jurutera dari Sime Darby Plantation Research, enam pelajar PhD, dua pelajar Sarjana dan beberapa pelajar Sarjana Muda.

“Mereka kini sedang giat mengkaji penggunaan alga untuk merawat sisa kumbahan dari kilang minyak kelapa sawit atau lebih dikenali sebagai palm oil mill effluent (POME), dengan pemencilan karbon dioksida.

“Jika kajian ini terbukti berjaya, ia mampu mengubah cara industri kelapa sawit mengendalikan efluen dengan lebih cekap dan mampan,” terangnya.

Pada majlis itu, beliau turut menlancarkan tiga buku hasil daripada kajian yang dijalankan oleh saintis UKM di bawah Kursi Perubahan Iklim iaitu Kepelbagaian Biologi Ekosistem Kelapa Sawit Versi Bahasa Inggeris, Makmal Perubahan Iklim dan Impak Kenaikan Aras Laut di Kawasan Rendah Persisiran Pantai Batu Pahat, Johor.

Turut hadir adalah Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Penyandang Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD, Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah.