Perbezaan Pandangan Perlu Ditadbir Secara Berhemah – Tuanku Muhriz


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 November 2019 – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah agar setiap pendapat yang dikeluarkan, walaupun berbeza perlu ditadbir secara berhemah.

Titah baginda, walaupun universiti sering dirujuk sebagai tempat membahaskan perbezaan pandangan, namun kebebasan itu haruslah ditadbir secara berhemah.

“Beta menyeru agar sebarang teguran atau percanggahan pendapat disalurkan menerusi wahana yang tersedia serta dizahirkan secara tertib dan teratur.

“Keluhuran akal budi dan nilai peradaban yang disemai di universiti harus dibuktikan dengan tingkah laku yang melambangkan ketinggian ilmu, adab dan peribadi yang terdidik,” titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-47, di sini.

Turut berangkat ke majlis konvokesyen itu ialah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tunku Besar Mahmud; Tunku Pro Canselor, Datuk Seri DiRaja Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Pro Canselor, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.

Tuanku Muhriz seterusnya menitahkan supaya kejujuran dan kebebasan akademik perlu berpaksikan kebenaran, kesarjanaan dan integriti.

“Keluhuran akademik itulah yang akan menentukan keutuhan dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

“Justeru, beta menyeru agar semua warga akademik terus berpegang kepada prinsip akademik yg luhur agar khazanah ilmu negara terus terjana, diperkukuhkan dan bermanfaat dalam pembentukan ketamadunan kehidupan sejagat,” titah Tuanku Muhriz.

Seramai 7,655 graduan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-47 yang berlangsung selama empat hari bermula 2 November hingga 5 November 2019.